Pages

Thursday, June 17, 2010

CEMBURU

Mengapakah kita rasa cemburu dan bagaimana mengatasi atau mengawal perasaan itu? Cemburu boleh menimbulkan kesan positif jika kita menjadikannya sebagai kayu ukur untuk satu cabaran dan mencapai kejayaan. Tetapi ia juga boleh memusnahkan jika ia disaluti dengan perasaan terancam yang keterlaluan.

Kadangkala, perasaan cemburu itu dianggap wajar tetapi pada masa yang lain, ia mungkin agak keterlaluan.

Jadi bagaimana untuk mengetahui sama ada cemburu kita berada di tahap yang wajar atau melampaui batas?

Berikut adalah panduan yang dipetik daripada An Integration Of Sexual and Marital Therapy oleh pakar tetapi keluarga, David Morris Schnarch.

ANALISIS PUNCA CEMBURU

Teliti mengapa anda rasa cemburu? Apakah pasangan anda melakukan sesuatu yang membuat anda cemburu?

Apakah anda sering merasakan pasangan anda tidak berlaku jujur terhadap anda? Atau pasangan anda tidak memberikan anda perhatian yang secukupnya?

Ambillah masa untuk menganalisis perasaan anda itu. Jika puncanya memang daripada pasangan anda, ajaklah berbincang dengannya dan luahkan perasaan anda secara tenang.

Elakkan daripada membuat sebarang tuduhan. Lebih baik bertanya untuk mendapatkan kepastian, bukan berserkap jarang.

Bertanya, bukan menuduh, demi mengelakkan pertengkaran. Tetapi jika perasaan cemburu itu datangnya daripada diri anda diri, ikutilah panduan ini untuk mengurangkan tekanan diri.

ANDA PILIHANNYA

Haruslah senantiasa ingat bahawa kecuali anda mempunyai sebab untuk rasa cemburu, anda tidak seharusnya terlalu menguasai pasangan anda.

Jika anda yakin bahawa pasangan anda curang tetapi anda tidak mempunyai bukti, ini bermakna tiada kepercayaan dalam perhubungan.

Sebaliknya, jika anda cemburu hanya kerana anda terlihat dia menjeling ke arah wanita lain atau dia bertugas dengan wanita yang lebih menarik, ingatkan diri anda sendiri bahawa dia memilih anda sebagai teman hidup.

Usahlah terus-terusan membuat dia berasa bersalah. Memandangkan si dia sudah pun memilih anda, tentu sekali ada yang istimewa mengenai anda di matanya. Kecuali anda terlalu mencabar kesabarannya, kemungkinan si dia akan setia bersama anda.

FIKIR POSITIF

Kikiskan perasaan negatif terhadap diri sendiri dan jangan bercakap perkara yang kurang menyenangkan mengenai diri anda.

Keyakinan diri (bukan ego) merupakan sesuatu daya tarikan dan jika anda mengingkatkan diri anda supaya berfikir secara positif setiap kali perasaan negatif timbul, lama-kelamaan anda akan menjadi mahir dalam aspek “berfikir yang baik-baik” saja.

JANGAN KUASAI HUBUNGAN

Usahlah menguasai orang lain kerana dengan melakukan itu, anda sebenarnya melemahkan diri anda sendiri.

Biarpun pasangan anda mungkin menurutkan saja kemahuan anda, dia sebenarnya mempunyai pemikirannya sendiri.

Jika anda merasakan anda tidak boleh mempercayainya selagi anda tidak mengambil tahu apa yang dilakukan setiap saat, ini bermakna sama ada pasangan anda itu memang tidak boleh dipercayai atau satu hari kelak, dia akan tetap berlaku curang, memperdayakan anda atau akhirnya, menyingkirkan anda.

Tiada siapa yang akan menang dalam situasi ini. Jika dia melakukan sesuatu yang menyakitkan hati anda, contohnya dia bercakap dengan bekas pasangannya, katakan secara terus terang kepadanya bahawa tindakannya membuat hati anda terluka.

Sikap terbuka dan terus terang begini lebih menghasilkan reaksi positif berbanding ancaman seperti menuntut secara keras agar mereka tidak bertemu lagi.

JADILAH PASANGAN YANG DIPERCAYAI

Berusahalah menjadi lebih daripada orang yang pasangan anda sukai. Ingat ungkapan “ibu saya juga adalah teman saya”. Ungkapan yang sama juga boleh digunakan dalam hubungan suami isteri.

Selain sebagai kekasih, jadilah teman baiknya juga. Bahkan membentuk persahabatan sebelum menjadi kekasih biasanya lebih mengutuhkan perhubungan anda dalam tempoh yang panjang. Persahabatan juga boleh dibentuk selepas perkahwinan.

MENGENDALI PASANGAN YANG CEMBURU

Jika anda mempunyai pasangan yang sering cemburu, pastikan anda tidak melakukan sesuatu yang mencetuskan perasaan cemburu itu.

Janganlah setakat meluahkan kata-kata memujuk tetapi anda kemudian menyakitkan hatinya, biarpun tiada niat berbuat begitu, kerana ia akan hanya menambah rasa cemburunya itu.

Berterus terang tentang perasaan anda adalah lebih baik daripada cuba berdalih atau bersikap defensif.

Kesimpulannya, cemburu wujud dalam diri semua orang, cuba tahapnya saja yang berbeza-beza. Cara terbaik mengatasinya ialah dengan mengendalikan emosi anda terlebih dulu.

Buatlah keputusan yang dapat membantu anda mengikis perasaan cemburu itu kecuali memang benar-benar anda mempunyai sebab untuk berasa cemburu.

Bersikap jujur pada diri sendiri juga perlu. Anda juga perlu mempunyai keinginan untuk memperbaiki kehidupan dan perhubungan.

Jika anda mampu mengubah sikap buruk lama dengan pemikiran baru yang lebih baik, bukan saja pasangan anda lebih bahagia, lebih penting juga anda sendiri akan senang hati.

(diambil drpd :www.rediesh.com)

0 comments:

Post a Comment