Pages

Tuesday, July 14, 2009

LUAHAN...

Sanggup berpindah dari naungan keluarga sendiri dan kemudiannya menyerahkan jiwa dan raganya kepada seorang lelaki asing, bukanlah satu perkara yang mudah. Walaupun lelaki itu telah dikenalnya tapi si lelaki tetap masih orang asing dalam kehidupannya.

Kini dia menyerahkan maruah dan kehormatannya kepada lelaki itu yang mungkin akan menjadi satu-satunya teman hidupnya sampai bila-bila. Ini dikira satu pengorbanan. Mungkin boleh dikatakan, inilah pengorbanan pertama yang dilakukan oleh seorang wanita bila bergelar isteri.

Kehidupan seorang isteri dalam bahtera rumah tangga selepas itu menemukan dia pada banyak saat dan ketika di mana dia melakukan pengorbanan demi pengorbanan. Kecil atau besar, sedikit atau banyak, pengorbanan pasti ada dalam kamus hidup seorang isteri.

Waktu merelakan dirinya diambil sebagai isteri, dia telah menggadai diri dan kebebasannya untuk hidup bersama suami. Tidak ada lagi kehidupan yang agak merdeka di bawah kawalan ibu bapa. Tidak lagi bebas mengisi masa bersama teman-teman. Atau memenuhi pelbagai aktiviti dan mengejar cita-cita peribadi. Semua itu tidak dapat dikecapi lagi. Dia kini sudah terikat dengan tanggungjawab kepada suami.

Kemudian isteri akan menempuh kehidupan bersama suami tidak kira bagaimana pun bentuk kehidupan itu. Liku dan ranjau di hadapan belum diketahui. Kalaupun lebih susah dari sebelumnya, isteri selalunya sanggup berkorban dan bersusah-susah demi meneruskan hidup bersama suami.

Ada isteri yang menyimpan rahsia kesusahan hidupnya dari pengetahuan keluarga. Demi menjaga maruah suami, seboleh mungkin dia akan cuba menutup kesusahan hidupnya bersama suami. Dia tidak mahu kaum keluarganya memandang rendah pada suaminya. Lebih-lebih lagi kalau kaum keluarga si isteri lebih berdarjat dari suami. Menjaga rahsia rumah tangga dan aib suami menjadi perjuangan dalam hidupnya. Hingga dia sanggup berkorban kerananya.

Kalaupun kehidupannya selepas berkahwin diliputi kesenangan, pasti ada waktu-waktunya isteri perlu dan harus berkorban. Si isteri sendiri mungkin tidak merasakannya sebagai satu pengorbanan kerana dia gembira melakukannya demi suami. Contoh paling mudah, isteri selalunya akan mendahulukan suami dan anak-anak lebih dari dirinya. Apa yang suami dan anak-anak teringin hendak makan misalnya, dia sanggup sediakan. Tidak mengapa kalau masakan itu bukan kegemarannya sendiri. Citarasa suami lebih penting dari citarasanya sendiri.

Isteri juga selalunya mendahulukan ibu bapa dan keluarga suami. Kerana baginya, memuliakan keluarga suami sama seperti memuliakan suami juga.

0 comments:

Post a Comment