Pages

Thursday, December 31, 2009

Kestabilan Emosi - Elak Cemburu

CEMBURU boleh mengundang bahaya. Cemburu juga boleh mendorong seseorang itu berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh bagi memastikan hasrat dan cita-citanya tercapai.

Walau apa pun tanggapan umum terhadap istilah cemburu, sebaik- baiknya perasaan tersebut dapat ditangani dengan bijak agar tidak terlalu mempengaruhi proses kehidupan seharian.

Menurut Ketua Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Makzan Musa, dalam memperkatakan soal cemburu, wanita terutamanya para isteri merupakan golongan yang sering menderita sehingga mendesaknya melakukan `jenayah cinta' berbanding kesan terhadap lelaki di negara ini.

Katanya, perasaan cemburu menghantui para isteri disebabkan mereka merasakan perhubungan perkahwinan itu sesuatu yang terlalu istimewa dan amat bernilai sehingga tidak sepatutnya diganggu-gugat oleh orang lain.

``Ini tidak dapat dinafikan kerana dalam budaya Melayu sendiri, suami adalah tunggak sesebuah keluarga, jadi si isteri sukar menerima hakikat sekiranya si suami terpikat dengan orang ketiga,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Psikologi Cemburu' sempena Seminar Wanita: Menangani Transformasi Gaya Hidup anjuran Persatuan Wanita UUM (Sutranita) di Langkawi, baru-baru ini.

Mohd. Makzan yang berpengalaman dalam bidang psikologi dan kaunseling selama lebih 20 tahun, menjelaskan, lelaki lebih bijak mengurus rasa cemburu kerana selain mempunyai banyak `pilihan,' mereka juga dipengaruhi oleh sifat semula jadi iaitu ego.

``Lelaki merasakan mereka adalah lebih dominan daripada wanita, jadi seboleh-bolehnya mereka tidak mahu memberi gambaran tentang perasaan cemburu yang sebenarnya wujud dalam setiap diri manusia,'' ujar beliau.

Untuk mengurangkan rasa cemburu, katanya, seseorang itu perlu sentiasa bersikap rasional kerana cemburu terutama yang melampau seringkali dikaitkan dengan sikap individu itu sendiri yang tidak dapat berfikir secara bijak dan waras.

``Apa yang penting sekiranya menghadapi masalah cemburu ini, seseorang itu mesti berfikir dengan tenang supaya mereka dapat menerima hakikat siapa diri mereka yang sebenarnya. Jika ini berjaya dilakukan, perasaan cemburu dapat diredakan,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menafikan bahawa cemburu boleh membawa unsur-unsur positif dalam hidup seseorang itu sehingga lebih berjaya jika mampu mengawal perasaannya dengan menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang sewajarnya.

0 comments:

Post a Comment